Thursday, May 26, 2011

Musang dan Kelawar

Apabila sahaja bahtera nabi Noh a s terdampar dipuncak gunung Ararat setelah bumi dilanda banjir besar maka kesemua jenis pokok tumbuh subur dan menghijau. Binatang-binatang yang berada didalam bahtera akan dilepaskan oleh baginda untuk bertebaran mencari kehidupan sendiri.

Dikisahkan sebelum mereka pergi mereka telah dibawa oleh baginda keatas dek bahtera itu untuk melihat tumbuh-tumbuhan yang sedang galak berbunga pada ketika itu. Selepas ini tentusahaja pokok-pokok yang berbunga ini akan mengelurkan putik dan berbuah. Ini akan menjadi makanan kepada binatang-binatang ini.

Apabila terlihat sahaja pokok bunga kertas yang berbunga terlalu lebat dan bermacam-macam warna, si musang dengan angkuhnya telah berkata bahawa pokok itu dia yang punya dan binatang lain tidak akan dibenarkan memakan buahnya.Kelawar pula mengikuti jejak simusang dengan menempah pokok bunga raya yang berbunga saiz besar dan bernacam-macam bentuk dan warna. Beliau beranggapan tentu sekali pokok itu akan mengeluarkan buah yang besar-besar dan lazat rasanya nanti. Binatang-binatang lain hanya menempah pokok-pokok lain yang bunganya kurang menarik seperti pokok rambutan, nangka, cempedak, durian manggis langsat dan lain-lain sambil diketawakan oleh kedua-dua binatang ini.

Apabila tiba musim buah, kesemua binatang lepaskan untuk menjaga pokok masing-masing. Sang tupai melompat kegirangan apabila pokok rambutannya mula berbuah dengan lebat. Sang kera pula sibuk menjaga buah pisangnya yang sudah mula menguning. Manakala sang pipit sibuk dan bising dengan padi-padinya yang sudah merunduk keemasan. Begitulah juga binatang-binatang lain yang sibuk dengan pokok masing-masing. Namun bagi pokok-pokok bunga bunga kertas simusang dan bunga raya sikelawar terus galak berbunga tetapi tidak berbuah.

Apabila tiba musim memetik buah, maka binatang-binatang pun menikmati buah masing-masing. Manakala simusang dan sikelawar terkebil-kebil hairan bercampur malu apabila pokok mereka masih terus berbunga tetapi tidak lansung mengeluarkan buah.

Oleh kerena terlalu malu dan demi menjaga ego diri, mereka mengambil keputusan untuk keluar malam mencuri buah-buahan binatang lain sebagai makanan mereka. Sampailah kehari ini mereka masih mengamalkan tabiat itu untuk keluar makan pada waktu malam.

Apayang kita bolih pelajari dari cerita ini adalah kita janganlah suka menyombong apatah lagi jika kita kurang berilmu. Jangan ada berperasangka buruk terhadap anugerah Allah SWT dan apabila melakukan kesilapan tidak pula mahu mengaku salah. Apa yang paling malang ialah mereka akan hidup dengan kesilapan mereka itu. Seterusnya sanggup pula menambah lagi kesilapan dan memburukkan lagi moral diri.

Wednesday, May 11, 2011

Titian Usang 2

Kini tiba musim dimana tiap-tiap hari kita menerima hujan. Kadang-kadang hujan pagi kadang-kadang ia turun waktu petang. Walaubagaimanapun suhu cuaca agak panas.Sewaktu bob menalipon mak bob beliau menceritakan yang dikampung pun mengalami cuaca yang sama.

Teringat kembali bob kepada keadaan kampung semasa bob bersekolah rendah dulu. Apabila musim hujan tiba seperti ini, terdapat beberapa keluarga dikampung bob yang tidak ada beras untuk dimasak. Mereka ini adalah penoreh-penoreh getah yang tidak dapat menoreh ketika musim hujan. Ini adalah kerena pokok getah yang basah sememang tidak boleh ditoreh.

Sudah menjadi perkara biasa jika ada yang datang kerumah bob untuk meminjam beras. Mujurlah bapa bob mempunyai perkerjaan tetap sebagai buruh kapal korek dan mempunyai kedai gunting rambut. Manakala mak bob pula membuat dan menjual kueh mueh. Oleh itu bolehlah beliau menghulurkan bantuan pada yang memerlukan.

Walaubagaimanapun susahnya pihak ibu bapa menunjang kehidupan, bob dan kawan-kawan sebagai anak-anak tetap sentiasa ingin memajukan diri dengan taat datang kesekolah. Tidak terdengar lansung tentang isu ponteng sekolah. Tidak pula kami lakukan perkara-perkara pelik yang memburukkan nama ibi bapa atan nama kampung kami.

Apabila tiba keputusan peperiksaan darjah enam, seorang demi seorang anak-anak kampung ini akan keluar meninggalkan kampung pergi melanjutkan pelajaran disekolah asrama penuh yang ternama dibandar-bandar. Mereka ini berazam dan akan kembali dengan kejayaan dan akhirnya ingin menebus kepayahan yang dialami keluarga masing-masing dimasa dulu.

Tetapi lazimnya apabila kejayaan telah diraih, orang-orang tua ini telah tiada lagi.Rumah-rumah yang dahulunya riuh rendah kini telah ditinggal usang dan sunyi sepi. Halaman rumah yang dulunya bersih dan damai tetapi kini tumbuhi lalang. Kejayaan yang dahulunya diharapkan oleh penghuni-penghuni kampung  kini telah berpindah dan disumbangkan kedaerah lain. Apa yang tinggal hanyalah seribu kenangan dan harapan bersama pusara lama yang hanya dikunjungi entah beberapa tahun sekali.

Wednesday, May 4, 2011

Masak Udang Tiga Rasa

Kali ini bob ingin bercerita tentang satu resepi kegemaran Fasya. Jika kita kepasar ketika ini, udang saiz sederhana berharga kira-kira RM13.00 sekilo. Cukup hanya setengah kilo untuk satu hidangan.

Apabila sampai dirumah bersihkan udang itu dan lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Kemudian gorengkan udang tadi sehingga kuning dan angkat dari kuali dan toskan minyaknya Sambil itu hiris-hiriskanlah tiga ulas bawang merah dan tiga ulas bawang putih. Hiriskan juga sebiji cili merah bersama sebiji cili hijau dan setengah inci halia..

Kemudian panaskan kuali dan tumiskan bahan yang telah dihiris tadi dengan dua sudu minyak masak. Apabila sudah naik baunya masukkan empat sudu sos tomato bersama empat sudu sos cili. Kemudian masukan pula secawan air, sesudu gula, sesudu cuka dan garam secukup rasa.

Seterusnya masukan sebiji bawang besar yang telah dipotong-potong baji. Gaul sehingga rata sampai mendidih. Kemudian itu masukkan udang tadi bersama sebiji buah tomato yang juga dipotong baji. Sekali lagi gaul sehingga rata semuanya dan sedia untuk dipindahkan kedalam pinggan hidangan

Mudahkan? Ia sangat sesuai dimasak oleh orang bujang dan yang mahu masakan ringkas. Bob sering menghidangkan menu ini dengan masak tumis sayur kobis cina bersama ikan tenggiri goreng. Woi sedap betul kalau hidangan yang masih panas ini dimakan bersama nasi panas.  Si fasya sangat minat menu ini untuk makan tengahari ketika pulang dari sekolah.

Suap demi suap bergilir  antara nasi dan udang masuk kemulut sehingga meleleh-leleh peluh keluar. Begitulah enaknya masakan sendiri yang ringkas dan tidak susah berbelanja makan dikedai makan yang tidak diketahui tentang kebersihan dan khasiatnya.

Thursday, April 28, 2011

Logamaya 1

Pada akhir tahun dulu bob singgah pada satu paeran buku yang diadakan oleh peniaga persendirian atas kebenaran pihak berkuasa. Pameran buku ini menjual buku-buku dan majalah lama. Terdapat juga buku-buku dari luar negeri dan yang paling menarik hati bob ialah buku-buku lama dari negara seberang.

Bob pun berpeluang menambah koleksi buku lama bob dengan harga yang sangat menakjubkan. Sebagai contohnya, sebuah buku panduan ibadah puasa  hanya berharga RM 1.00 sahaja.

Apabila bob menyelinap dipenjuru pameran itu yang mempamirkan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, bob terpandang kepada ratusan buah buku-buku istilah sains dan matematik yang dijual murah. Keadaannya terbiar usang kerena disimpan didalam setor dan tidak pernah dibeli atau digunakan orang.

Terlintas difikiran bob bukan tentang harganya yang murah tetapi tentang usaha dan masa yang dikorbankan oleh mereka yang telah berusaha siang dan malam untuk menghasilkan istilah-istilah ini. Mereka ini yang tidak pernah minta untuk dikenali tetapi berbangga dengan usaha demi kepentingan ilmu, bahasa dan anak bangsa.  

Apa yang menyedihkan kita adalah setelah pengorbanan ini dilakukan tiba-tiba generasi kita masakini yang cepat hilang keyakinan dan jatidiri telah mengubah haluan. Usaha dan pengorbanan mereka tadi berserta ribuan jutaan ringgit wang rakyat menjadi sia-sia.

Persoalannya, apakah arahtuju bangsa yang kita mahukan ? Bukankah ianya telah kita pilih dan tentukan sejak dulu lagi ? Bilakah boleh kita menuai hasil jika anak benih kita sentiasa dicabut, ditukar dan diinjak-injak..

Monday, April 25, 2011

Mentari Petang 2

Pada hari minggu yang lalu bob bersama isteri dan anak-anak telah berpeluang melawat salah seorang saudara bob dihospital. Umurnya dalam lingkungan tujuh puluh tahun. Orangnya ramah, ramai kenalan olehsebab itu bliau merupakan orang kuat politik dikawasannya.

Kelihatan beliau dalam payah tetapi tetap memberi senyuman dan memaksa dirinya untuk melayan tetamu yang datang. Maklumlah beliau sedang menghadapi masaalah jantung. Setelah lima belas minit kemudian bob memberi isyarat untuk beredar. Kami sekeluarga mendoakan nbeliau semoga cepat sembuh.

Bob terfikir bagaimana lelahnya beliau menanggung kesakitan yang sedang dihidapinya. Sahabat handai yang datang cuma dapat melihat tetapi yang menanggung sakitnya hanya beliau sendiri. Begitulah keadaannya apabila kita sakit. Kita sendirilah yang menanggung rasa seksa dan penderitaannya. Orang lain hanya kelihatan bersimpati.

Sebagai contohnya semasa kita mengalami sakit gigi berlubang yang perlu dicabut, sang doktor  hanya dapat bersimpati dengan menjalankan tugasnya mengikut perosedur yang telah dipelajarinya. Proses sebelum, semasa dan selepas gigi kita direntap adalah amat menyakitkan dan ianya ditanggung oleh kita sendiri. Paling baik, doktor dan orang disekeliling kita hanya dapat membantu kita untuk mengurangkan penderitaan kita itu

Olehyang demikian, bob sering menasihatkan isteri bob supaya meletakkan penjagaan kesihatan diri adalah sebagai perkara yang paling terpenting. Ini harus diutamakan dari tugas–tugas dipejabat. Apabila badan mulai terasa kurang sihat hendaklah kita cepat-cepat mendapatkan rawatan. Tinggalkanlah dulu seketika perkerjaan kita. Dapatkan nasihat dan rawatan dari  ahli perubatan untuk mengenalpasti masaalah kesihatan kita.

Apabila kita ditahan dalam wad dan terbaring dikatil, ketua jabatan dan rakan pejabat kita hanya akan menghantar buah atau bunga. Mereka hanya datang melawat sebagai tanda simpati dan kemudian mereka pulang. Maka tinggallah kita menahan sakit sendirian.

Waktu dipejabat kita dilanyak sehingga tidak cukup nafas sehingga apabila kita kurang bertenaga kerena kurang sihat tiada siapa yang bersimpati. Besar juga kemungkinannya kesihatan kita merosot berpunca dari tekanan dan kerenah tempat kerja itu sendiri. Malah ianya akan bertambah buruk lagi jika keadaan ini berlaku pada waktu yang hampir dengan masa membuat lapuran prestasi tahunan. Sudah tentu kita dilabelkan sebagai kakaitangan yang lemah prestasinya.

Siapa yang peduli, siapa yang simpati dan siapakah yang menanggung. Fikir-fikirkanlah.

Thursday, April 21, 2011

Kucing dan Harimau

Pada masa ini bob mempunyai lapan ekor kucing berbagai jenis. Tujuh ekor jantan dan tiga ekor betina. Dua ekor darinya masih anak-anak lagi. Kesemuanya nakal-nakal dan menjadi penawar kehidupan dan buahhati bob sekeluarga. Mcoy, Snow, Sofie, Grey, Hui, Lois, Melly, Lucky, Joe dan Jamie begitulah nama-nama mereka. Namun mereka juga mempunyai nama melayunya masing-masing.

Bercakap mengenai kucing ini bob teringat tentang satu cerita yang pernah diceritakan oleh ibu saudara bob semasa bob kecil-kecil dulu. Dikisahkan pada satu masa dahulu kucing merupakan sahabat baik kepada harimau. Kemana-mana sahaja mereka akan sentiasa bersama. Apa yang harimau lakukan sikucing akan melakukannya juga.

Walaupun harimau ini merupakan binatang yang gagah dan besar namun ada satu perkara yang tidak dapat menandingi sikucing. Perkara itu ialah tentang kemahiran memanjat pokok. Ini membuatkan harimau tidak puas hati dan merasa rendah diri. Kadangkala jika mereka bergurau dan apabila sikucing mendapati gurauan itu sudah melebihi batas, beliau akan cepat memanjat pokok untuk menyelamatkan diri dan harimau akan terganga melopong dengan perasaan marah.

Sudah beberapakali siharimau memujuk sikucing untuk mengajar beliau tentang ilmu memanjat. Tetapi kucing masih teragak-agak untuk melatih siharimau memanjat. Ini adalah kerana sikucing berpendapat bahawa dengan berada diatas pokok adalah merupakan strategi terakhir baginya untuk menyelamatkan diri jika harimau naik marah atau ingin mengapa-apakan beliau.

Entah macamamana pada satu hari setelah dipujuk rayu oleh siharimau, sikucing pun dengan lembut hati bersetuju untuk mengajar siharimau memanjat pokok.

Pada hari dan tempat yang telah dijanjikan, sikucing pun mula mengajar siharimau. Terkial-kial siharimau memanjat dengan kuku yang besar dan tajam mencengkam kuat batang pokok untuk naik keatas dahan pertama. Melihatkan tangan harimau yang besar dan kuku yang berkilat tajam, sikucing mula merasa gerun dan takut. Dia berfikir, apa akan jadi jika siharimau itu satu hari nanti naik marah dan boleh memburu beliau sehingga memanjat pokok. Beliau lansung tidak mempunyai tempat atau cara untuk berlindung.

Tiba-tiba sikucing membuat langkah selamat dengan melarikan diri ketika siharimau masih berpeluh mengigil memeluk dahan pertama diatas pokok. Melihatkan tindakan sikucing itu, siharimau merayu untuk kucing mengajarnya turun dari pokok. Tetapi sikucing terus berdegil dan terkebil-kebil dari jauh. Harimau pun naik berang dengan perangai kucing yang membiarkan beliau sendirian diatas pokok itu. Marahnya meluap-luap dengan sumpah seranah sehingga menjerit ia akan terus memusuhi kucing sehingga keanak cucu.

Oleh kerena terlalu takutnya pada sang harimau, sikucing pun berpesan-pesan kepada anak cucunya supaya berjaga-jaga dengan harimau yang sentiasa menjejaki mereka untuk membalas dendam. Tahi-tahi mereka perlu dikambus supaya ianya tidak berbau meninggalkan kesan yang boleh dijejaki oleh siharimau. Itulah sebabnya sehingga kehari ini kita dapati semua kucing-kucing mempunyai tabiat menimbus tahi mereka selepas sahaja mereka melepas. Ini tidak dilakukan oleh haiwan-haiwan lain. Tetapi siLucky kucing bob yang sudah hampir setahun umurnya masih belum tahu tentang perkara ini kerena emak nya si Sofie tidak pernah mengajarnya.

Mari kita sama-sama fikirkan apa yang kita dapat pelajari dari cerita ini

Monday, April 18, 2011

Titian Usang 1

Kelmarin bob menalipon mak bob untuk bertanyakan khabar. Alhamdulillah mak dan bapa bob semuanya sihat. Seterusnya mak bob bercerita tentang keadaan cuaca disana baik ada matahari sesekali hujan dan dikhabarkan sedang musim durian gugur.

Dua tiga hari sebelum ini, bekas ketua kampung bob telah kembali kerahmatullah begitu juga hari berikutnya bekas tukang kebun disekolah rendah bob pun telah meninggal dunia. Kesemua mereka telah berusia hampr sembilan puluh tahun.

Kedua-dua mereka ini adalah diantara orang yang amat bob hormati. Banyak cerita dan kenangan bob  bersama mereka. Bob masih ingat apabila ketua kampung ini sanggup meluang masa untuk turut bersama rombongan perminangan kerumah ibubapa isteri bob diKualaLumpur ini kira-kira tiga puluh tahun yang lalu.Ketika itu lebuhraya masih belum dibina lagi.

Manakala Pak Harun tukang kebun sekolah bob merupakan agen kepada mak bob yang sering melaporkan tentang apa yang bob lakukan disekolah. Alhamdulillah semua laporan baik belaka.

Nampaknya hanya tinggal mak dan bapa bob menjadi orang yang paling berusia yang masih hidup dikampung bob.

Kampung pun sudah banyak berbeza. Dulunya dikelilingi pokok getah tetapi kini kelapa sawit. Rumah-rumah usang telah banyak yang roboh dan kini kampung menjadi lengang ditumbuhi lalang.

Teringat bob kepada sebuah tulisan bob. Begini bunyinya.

DiPohon Rambutan Itu

“Buahnya sudah jarang
tidak lagi disentuh orang
Tuannya telah hilang
meninggalkan rumah usang
penuh sawang
Lamannya yang ditumbuhi lalang
Pokok ulan melilit julang
merebahkan tiang
Menantikan tumbang

Dahannya yang tidak lagi merendang
Daunnya gugur disambut lengang
Berirama riang-riang
Tinggal parut ukiran dibatang
pada kulitnya yang sudah belulang
Masih disitu dipinggir simpang

Dipangkalnya ada tahi musang
yang sudah kering berkeretang
Menunggu anaknya pulang
berdagang bagaikan keluang
Yang baliknya jarang-jarang
Walaupun sudah petang”

Tuesday, April 12, 2011

Mentari Petang 1

Bob masih teringat semasa keputusan SPM dikeluarkan disekolah dulu. Masing-masing kawan bob bertanyakan tentang keputusan dan berapa kepujian atau berapa banyak A yang diperolehi. Ada yang melompat kegembiraan ada pula yang terdiam bungkam.

Setahun kemudian jika kami bertembung masinh-masing akan bertanyakan tentang sekarang sedang bersekolah dimana atau pun buat apa atau kerja dimana. Tiga empat tahun kemudian bila kami bertemu, masing-masing akan bertanya lagi tentang kawan-kawan sedang berlajar dimaktab, universiti atau berkerja dimana.

Dua tiga tahun kemudian apabila kami terserempak dipasar ketika pulang berhariraya, kami masing-masing akan bertanya khabar sudah kahwinkah belum dan sedang berkerja dimana. Ada juga yang sempat menghulurkan kad jemputan kahwin ketika itu.

Selang beberapa tahun kemudian apabila bertembung lagi dengan kawan-kawan bob itu kami masing-masing akan bertanya kini sudah mempunyai berapa orang anak pula. Manakala sepuluh tahun kemudian apabila terserempak dijalan atau dipasar masing-masing akan bertanya tentang keadaan anak-anak kami masing-masing dan mereka sedang bersekolah dimana atau universiti mana atau kursus apa.

Lima belas tahun kemudian jika berkesempatan bertemu soalan yang kami tanya ialah berapa orang cucukah yang kami ada dan bila mahu bersara. Seterusnya soalan yang ditanya tentang apa yang hendak dibuat apabila bersara nanti

Kemudian lima tahun setelah bersara dan mungkin hanya dapat berpeluang bertemu dipusat-pusat  perubatan pula seperti diIJN dan hospital-hospital. Soalan yang ditanyakan adalah mengenai keadaan kesihatan dan penyakit yang dihidapi atau berapa banyak ubat yang terpaksa ditelan. Manakala soalan seterusnya adalah mengenai aktiviti masa kini. ‘Rehat Tunggu Mati(RTM)’begitulah jawapan seorang teman bob tidak berapa lama dahulu ketika bob bertembung dengannya Turut ditanya mengenai khabar kawan-kawan yang masih hidup atau pun mengenai kawan-kawan yang telah meninggal.

Begitulah soalan-soalan yang lazim ditanya disepanjang kehidupan seseorang itu apabila bertemu kenalan. Fakta-fakta kehidupan yang dilalui sentiasa berada dalam lipatan ingatan seseorang bagi menjawab soalan-soalan lazim ini. Soalan-soalan ini seolah berpusing lagi dan akan ulang tanya oleh generasi seterusnya.

Friday, April 8, 2011

Ayam

Ingat lagi kah kita pada lagu ‘Ayam’ nyanyian Jalil Hamid ?. Ada perumpamaan orang melayu mengenai keadaan sesiapa yang terlalu kekenyangan iaitu       ‘seperti  ayam mabuk tahi’. Buruk bukan ?. Olehyang demikian kita janganlah makan terlampau banyak sampai jadi bingai.

Tahukan anda mengapakah sehingga kehari ini kita dapati semua ayam-ayam tidak berhenti-henti dan sentiasa mengais-ngais kakinya diatas tanah?.
Kisahnya begini, pada satu ketika duhulu, ayam pernah bersahabat baik dengan helang. Mereka makan bersama, bermain bersama dan hidup rukun damai. Walaubagaimanapun sang helang mempunyai kelebihan kerena pandai terbang. Ini membuatkan sang ayam rasa rendah diri dan menginginkan dapat terbang.
Puas juga ayam belajar terbang tetapi tidak juga berjaya
.
Akhirnya siayam pergi memujuk  helang untuk memberitahu rahsia yang membolehkannya dapat terbang. Pada mulanya sihelang engan memberitahu tentang rahsianya tetapi setelah dirayu berkali-kali sihelang akur kepada kehendak ayam

Sihelang meminjamkan sebilah jarum emas yang digunakan bagi menjahit kepak ayam. Jahitan ini akan membuat ayam akan boleh dapat terbang. Sebagai tanda terima kasih, ayam berjanji akan memulangkan semula jarum itu sebaik sahaja ia boleh terbang.

Apabila pulang maka ayam pun mulalah menjahit kepaknya. Belumpun selesai peroses menjahit itu ayam sudah mula terasa boleh terbang. Entah macamana semasa ayam mencuba-cuba untuk terbang, jarum emas itu telah terpelanting jatuh ketanah. Dicarinya jarum itu tetapi tidak juga berjumpa. Dikais-kaisnya tanah, sampah dan rumput disekitar tetapi masih belum berhasil.

Apabila sahaja diketahui oleh sihelang tentang kehilangan jarum ini. Ia pun naik marah. Sihelang menuntut kepada siayam untuk medapatkan kembali jarum itu.Jika tidak siayam akan menjadi mangsa kepada helang sehingga keanak cucu.

Begitulah ceritanya sehingga kehari ini ayam-ayam masih terkais-kais mencari jarum emas yang hilang itu dan juga mereka sering menjadi mangsa helang. Olehyang demikian jika kita diamanahkan sesuatu maka jagalah amanah itu. Kalau tidak akibatnya akan ditanggung sampai keanak cucu.

Tuesday, April 5, 2011

Kisah seorang kawan

Pada hari Sabtu dua minggu yang lalu, bob telah menghadiri Majlis Penganugerahan Kecemerlangan Pelajar dan Mesyuarat Agong PIBG disekolah Fasya. Fasya merupakan salah seorang pelajar yang menerima hadiah pada hari itu.

Pada hari Isnin berikutnya ketika pulang sekolah Fasya telah menceritakan bahawa salah seorang kawannya yang duduk disebelah beliau sewaktu menerima hadiah tempuhari telah pun kehilangan ibu kesayangannya.

Apayang paling menyedihkan, kisahnya berlaku pada tengahari  hari berkenaan sewaktu pulang dari majlis itu. Sang anak yang merajuk hati kerena ibunya tidak bangun tidur untuk bersama kemajlis berkenaan telah pun masuk kebilik tidur dan mendapati ibunya masih lagi tertidur dengan nyenyaknya. Berkali-kali sianak cuba mengejutkan ibunya namun tidak jua terjaga. Oleh kerena terlalu letih dan penat, sianak pun terus merebahkan badanya disebelah ibunya dan akhirnya tertidur sama
.
Pada sebelah petangnya apabila terjaga, sianak pun cuba membangunkan lagi sekali lagi ibunya. Sambil merungut dan meluahkan rasa kesalnya kerena ibunya yang tidak hadir dimajlis pagi tadi, sianak mengugut tidak mahu mengambil SPMnya pada hujung tahun ini. Namun siibu masih terdiam kaku dan tidak bergerak-gerak. Sehinggalah sianak baru mengesyaki sesuatu yang pelik tentang keadaan ibunya itu.Kemudian barulah sianak itu tersedar  bahawa ibunya telah tiada lagi pergi meninggalkan beliau.

Jenazah ibunya telahpun selamat disempurnakan dan dikebumikan oleh tetangga pada hari itu juga.

Cuba kita bayangkan keadaan sianak itu yang pada paginya masih mempunyai seorang ibu tetapi tiba-tiba pada sebelah petang hari yang sama dalam keadaan penuh kesal baru tersedar ibunya telah pergi tidak kembali. Mudah-mudahan roh Allahyarham siibu dicucuri rahmat dan tergolong dikalang yang diredhai Allah SWT. Kepada sianak pula, kita sama-sama berdoa semoga beliau cekal hati penuh tabah menghadapi ujian ini dan jangan berputus harap.

Terima Kasih

Terima kasih kerena sudi lagi singgah di blog bob yang baru ini. Terima kasih juga kerena telah memberi sokongan kepada blog lama bob yang sememangnya telah lama bob tidak mengemaskininya. Bob meminta banyak maaf kerena membuatkan pengunjung blog bob itu tertunggu-tunggu dan marah. Bob juga memohon banyak maaf kepada Alifa kerena janji bob kepadanya tidak dapat ditunaikan.

Ada pun blog baru bob ini adalah atas galakan dan usaha Ayu anak bob yang sering menginginkan ayahnya untuk terus berblog. Terima kasih Ayu.

Bagi sesiapa yang ingin membaca semula tulisan bob yang lalu sila masuk keblog bob yang lama. Blog itu telah pun dihidupkan sejak Oktober 2003 dan telah tidak dikemaskinikan sejak Oktober 2006. Telah banyak  perkara yang bob ceritakan dalam blog itu. Tips untuk membaca tulisan-tulisan terdahulu, sila klik dekat kalendar. Klik pada tahunnya, bulan dan tarikhnya. Atau yang lebih mudah klik sahaja 'Next Page' untuk pergi ke muka surat yang terdahulu. Insyallah mudah sahaja.

Walaubagaimanapun bob mengucapkan selamat datang kepada pengunjung yang sudi singgah diblog bob yang baru ini. Bob masih mengekalkan kongsep blog bob yang lama, « dari akar ku berpencak rumpun, menjadi rimbun, tempat berteduh, yang mencengkam tebing, supaya tak rebak dihanyut arus ». Cuma blog yang ini menggunakan rekabentuk yang lebih santai dan bersahaja. Mudah-mudahan blog ini dapat mengembirakan dan memberi munafaat kepada pengunjung, pembaca dan peminatnya.

Banyak benar perkara-perkara yang telah berlaku disekeliling bob yang tidak dapat bob paparkan untuk dikongsi bersama. Ada cerita sedih dan banyak pula cerita yang mengembirakan. Nantikanlah pada satu masa nanti cerita-cerita ini akan bob paparkan untuk dikongsikan bersama jika kawan-kawan terus menyokong dan mengunjungi blog ini.

Saturday, March 26, 2011

Perjanjian antara lalat dengan nyamuk

Pernahkah kita terdengar tentang perjanjian yang telah dipersetujui sejak zaman berzaman ini? Perjanjian ini adalah perjanjian tabii yang masih dipatuhi oleh kedua dua mereka sehingga kehari ini.
Apakah dia intipati mengenai perjanjian itu?. Perjanjian ini merupakan perjajian antara lalat dengan nyamuk tentang soal hak dan sempadan masa keluar mencari rezeki diantara kedua-dua  serangga yang kita sangat kenal ini. Didalam perjanjian ini mereka telah bersetuju bahawa semua masayarakat nyamuk akan keluar mencari mangsa mereka pada sebelah malam manakala masyarakat lalat pula hanya boleh keluar mencari makan pada waktu siang.
Cuba kita perhatikan sehingga kehari ini, seringkah kita melihat lalat keluar pada waktu malam atau nyamuk keluar pada waktu siang?
Nyamuk tidak mungkin kita temui pada waktu siang kecuali  hanya didalam hutan yang gelap. Ini agaknya kerena masyarakat lalat tiada disitu pada waktu siang.
Apakah akibatnya apabila mereka ini melanggar perjanjian? Inilah perkara yang amat menakutkan kita jika ianya berlaku. Sebagai buktinya apabila sahaja geng nyamuk-nyamuk aedies mengambil keputusan untuk keluar menghisap darah pada waktu pagi dan senja, ia kan membawa musibah demam denggi kepada kita semua manusia. Manakala jika lalat-lalat datang menyerang dan menghurung sesebuah restoran pada waktu malam, maka sudah tentulah restoran itu merupakan sebuah tempat makan itu atau kawasan yang amat kotor dan menjijikkan. Jika kita berkunjung kesitu, akan memungkinkan kita mendapat jangkitan ceret birit dan lain-lain penyakit yang dibawa oleh mereka.
Mengapakah ada dikalangan mereka yang melanggar perjanjian ini? Apakah hubung kaitnya dengan kita manusia? Bukankah kita yang telah menyebabkan mereka ini melanggar perjanjian itu? Jelas dan terang  sekali bahawa kita manusialah yang merangsang mereka untuk tidak patuh kepada perjanjian mereka itu. Ini adalah kita manusia telah menyediakan tempat-tempat pembiakan bagi mereka dan kita juga tidak menjaga kebersihan persekitaran.

Apakah yang kita patut berlajar dari perjanjian ini?
Kita lihat, apabila sahaja kita manusia berani menyanggah hukum tabii maka kita semua akan menanggung akibatnya. Bukan sahaja hukum perjanjian nyamuk dengan lalat ini, bahkan perkara-perkara lain yang telah ditentukan oleh Pencipta kita ini. Mungkin secara tidak sedar iannya kita langgar atau yang paling malang sekali ialah apabila ianya dengan sengaja kita lakukan.