Thursday, May 26, 2011

Musang dan Kelawar

Apabila sahaja bahtera nabi Noh a s terdampar dipuncak gunung Ararat setelah bumi dilanda banjir besar maka kesemua jenis pokok tumbuh subur dan menghijau. Binatang-binatang yang berada didalam bahtera akan dilepaskan oleh baginda untuk bertebaran mencari kehidupan sendiri.

Dikisahkan sebelum mereka pergi mereka telah dibawa oleh baginda keatas dek bahtera itu untuk melihat tumbuh-tumbuhan yang sedang galak berbunga pada ketika itu. Selepas ini tentusahaja pokok-pokok yang berbunga ini akan mengelurkan putik dan berbuah. Ini akan menjadi makanan kepada binatang-binatang ini.

Apabila terlihat sahaja pokok bunga kertas yang berbunga terlalu lebat dan bermacam-macam warna, si musang dengan angkuhnya telah berkata bahawa pokok itu dia yang punya dan binatang lain tidak akan dibenarkan memakan buahnya.Kelawar pula mengikuti jejak simusang dengan menempah pokok bunga raya yang berbunga saiz besar dan bernacam-macam bentuk dan warna. Beliau beranggapan tentu sekali pokok itu akan mengeluarkan buah yang besar-besar dan lazat rasanya nanti. Binatang-binatang lain hanya menempah pokok-pokok lain yang bunganya kurang menarik seperti pokok rambutan, nangka, cempedak, durian manggis langsat dan lain-lain sambil diketawakan oleh kedua-dua binatang ini.

Apabila tiba musim buah, kesemua binatang lepaskan untuk menjaga pokok masing-masing. Sang tupai melompat kegirangan apabila pokok rambutannya mula berbuah dengan lebat. Sang kera pula sibuk menjaga buah pisangnya yang sudah mula menguning. Manakala sang pipit sibuk dan bising dengan padi-padinya yang sudah merunduk keemasan. Begitulah juga binatang-binatang lain yang sibuk dengan pokok masing-masing. Namun bagi pokok-pokok bunga bunga kertas simusang dan bunga raya sikelawar terus galak berbunga tetapi tidak berbuah.

Apabila tiba musim memetik buah, maka binatang-binatang pun menikmati buah masing-masing. Manakala simusang dan sikelawar terkebil-kebil hairan bercampur malu apabila pokok mereka masih terus berbunga tetapi tidak lansung mengeluarkan buah.

Oleh kerena terlalu malu dan demi menjaga ego diri, mereka mengambil keputusan untuk keluar malam mencuri buah-buahan binatang lain sebagai makanan mereka. Sampailah kehari ini mereka masih mengamalkan tabiat itu untuk keluar makan pada waktu malam.

Apayang kita bolih pelajari dari cerita ini adalah kita janganlah suka menyombong apatah lagi jika kita kurang berilmu. Jangan ada berperasangka buruk terhadap anugerah Allah SWT dan apabila melakukan kesilapan tidak pula mahu mengaku salah. Apa yang paling malang ialah mereka akan hidup dengan kesilapan mereka itu. Seterusnya sanggup pula menambah lagi kesilapan dan memburukkan lagi moral diri.

Wednesday, May 11, 2011

Titian Usang 2

Kini tiba musim dimana tiap-tiap hari kita menerima hujan. Kadang-kadang hujan pagi kadang-kadang ia turun waktu petang. Walaubagaimanapun suhu cuaca agak panas.Sewaktu bob menalipon mak bob beliau menceritakan yang dikampung pun mengalami cuaca yang sama.

Teringat kembali bob kepada keadaan kampung semasa bob bersekolah rendah dulu. Apabila musim hujan tiba seperti ini, terdapat beberapa keluarga dikampung bob yang tidak ada beras untuk dimasak. Mereka ini adalah penoreh-penoreh getah yang tidak dapat menoreh ketika musim hujan. Ini adalah kerena pokok getah yang basah sememang tidak boleh ditoreh.

Sudah menjadi perkara biasa jika ada yang datang kerumah bob untuk meminjam beras. Mujurlah bapa bob mempunyai perkerjaan tetap sebagai buruh kapal korek dan mempunyai kedai gunting rambut. Manakala mak bob pula membuat dan menjual kueh mueh. Oleh itu bolehlah beliau menghulurkan bantuan pada yang memerlukan.

Walaubagaimanapun susahnya pihak ibu bapa menunjang kehidupan, bob dan kawan-kawan sebagai anak-anak tetap sentiasa ingin memajukan diri dengan taat datang kesekolah. Tidak terdengar lansung tentang isu ponteng sekolah. Tidak pula kami lakukan perkara-perkara pelik yang memburukkan nama ibi bapa atan nama kampung kami.

Apabila tiba keputusan peperiksaan darjah enam, seorang demi seorang anak-anak kampung ini akan keluar meninggalkan kampung pergi melanjutkan pelajaran disekolah asrama penuh yang ternama dibandar-bandar. Mereka ini berazam dan akan kembali dengan kejayaan dan akhirnya ingin menebus kepayahan yang dialami keluarga masing-masing dimasa dulu.

Tetapi lazimnya apabila kejayaan telah diraih, orang-orang tua ini telah tiada lagi.Rumah-rumah yang dahulunya riuh rendah kini telah ditinggal usang dan sunyi sepi. Halaman rumah yang dulunya bersih dan damai tetapi kini tumbuhi lalang. Kejayaan yang dahulunya diharapkan oleh penghuni-penghuni kampung  kini telah berpindah dan disumbangkan kedaerah lain. Apa yang tinggal hanyalah seribu kenangan dan harapan bersama pusara lama yang hanya dikunjungi entah beberapa tahun sekali.

Wednesday, May 4, 2011

Masak Udang Tiga Rasa

Kali ini bob ingin bercerita tentang satu resepi kegemaran Fasya. Jika kita kepasar ketika ini, udang saiz sederhana berharga kira-kira RM13.00 sekilo. Cukup hanya setengah kilo untuk satu hidangan.

Apabila sampai dirumah bersihkan udang itu dan lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Kemudian gorengkan udang tadi sehingga kuning dan angkat dari kuali dan toskan minyaknya Sambil itu hiris-hiriskanlah tiga ulas bawang merah dan tiga ulas bawang putih. Hiriskan juga sebiji cili merah bersama sebiji cili hijau dan setengah inci halia..

Kemudian panaskan kuali dan tumiskan bahan yang telah dihiris tadi dengan dua sudu minyak masak. Apabila sudah naik baunya masukkan empat sudu sos tomato bersama empat sudu sos cili. Kemudian masukan pula secawan air, sesudu gula, sesudu cuka dan garam secukup rasa.

Seterusnya masukan sebiji bawang besar yang telah dipotong-potong baji. Gaul sehingga rata sampai mendidih. Kemudian itu masukkan udang tadi bersama sebiji buah tomato yang juga dipotong baji. Sekali lagi gaul sehingga rata semuanya dan sedia untuk dipindahkan kedalam pinggan hidangan

Mudahkan? Ia sangat sesuai dimasak oleh orang bujang dan yang mahu masakan ringkas. Bob sering menghidangkan menu ini dengan masak tumis sayur kobis cina bersama ikan tenggiri goreng. Woi sedap betul kalau hidangan yang masih panas ini dimakan bersama nasi panas.  Si fasya sangat minat menu ini untuk makan tengahari ketika pulang dari sekolah.

Suap demi suap bergilir  antara nasi dan udang masuk kemulut sehingga meleleh-leleh peluh keluar. Begitulah enaknya masakan sendiri yang ringkas dan tidak susah berbelanja makan dikedai makan yang tidak diketahui tentang kebersihan dan khasiatnya.

Thursday, April 28, 2011

Logamaya 1

Pada akhir tahun dulu bob singgah pada satu paeran buku yang diadakan oleh peniaga persendirian atas kebenaran pihak berkuasa. Pameran buku ini menjual buku-buku dan majalah lama. Terdapat juga buku-buku dari luar negeri dan yang paling menarik hati bob ialah buku-buku lama dari negara seberang.

Bob pun berpeluang menambah koleksi buku lama bob dengan harga yang sangat menakjubkan. Sebagai contohnya, sebuah buku panduan ibadah puasa  hanya berharga RM 1.00 sahaja.

Apabila bob menyelinap dipenjuru pameran itu yang mempamirkan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, bob terpandang kepada ratusan buah buku-buku istilah sains dan matematik yang dijual murah. Keadaannya terbiar usang kerena disimpan didalam setor dan tidak pernah dibeli atau digunakan orang.

Terlintas difikiran bob bukan tentang harganya yang murah tetapi tentang usaha dan masa yang dikorbankan oleh mereka yang telah berusaha siang dan malam untuk menghasilkan istilah-istilah ini. Mereka ini yang tidak pernah minta untuk dikenali tetapi berbangga dengan usaha demi kepentingan ilmu, bahasa dan anak bangsa.  

Apa yang menyedihkan kita adalah setelah pengorbanan ini dilakukan tiba-tiba generasi kita masakini yang cepat hilang keyakinan dan jatidiri telah mengubah haluan. Usaha dan pengorbanan mereka tadi berserta ribuan jutaan ringgit wang rakyat menjadi sia-sia.

Persoalannya, apakah arahtuju bangsa yang kita mahukan ? Bukankah ianya telah kita pilih dan tentukan sejak dulu lagi ? Bilakah boleh kita menuai hasil jika anak benih kita sentiasa dicabut, ditukar dan diinjak-injak..

Monday, April 25, 2011

Mentari Petang 2

Pada hari minggu yang lalu bob bersama isteri dan anak-anak telah berpeluang melawat salah seorang saudara bob dihospital. Umurnya dalam lingkungan tujuh puluh tahun. Orangnya ramah, ramai kenalan olehsebab itu bliau merupakan orang kuat politik dikawasannya.

Kelihatan beliau dalam payah tetapi tetap memberi senyuman dan memaksa dirinya untuk melayan tetamu yang datang. Maklumlah beliau sedang menghadapi masaalah jantung. Setelah lima belas minit kemudian bob memberi isyarat untuk beredar. Kami sekeluarga mendoakan nbeliau semoga cepat sembuh.

Bob terfikir bagaimana lelahnya beliau menanggung kesakitan yang sedang dihidapinya. Sahabat handai yang datang cuma dapat melihat tetapi yang menanggung sakitnya hanya beliau sendiri. Begitulah keadaannya apabila kita sakit. Kita sendirilah yang menanggung rasa seksa dan penderitaannya. Orang lain hanya kelihatan bersimpati.

Sebagai contohnya semasa kita mengalami sakit gigi berlubang yang perlu dicabut, sang doktor  hanya dapat bersimpati dengan menjalankan tugasnya mengikut perosedur yang telah dipelajarinya. Proses sebelum, semasa dan selepas gigi kita direntap adalah amat menyakitkan dan ianya ditanggung oleh kita sendiri. Paling baik, doktor dan orang disekeliling kita hanya dapat membantu kita untuk mengurangkan penderitaan kita itu

Olehyang demikian, bob sering menasihatkan isteri bob supaya meletakkan penjagaan kesihatan diri adalah sebagai perkara yang paling terpenting. Ini harus diutamakan dari tugas–tugas dipejabat. Apabila badan mulai terasa kurang sihat hendaklah kita cepat-cepat mendapatkan rawatan. Tinggalkanlah dulu seketika perkerjaan kita. Dapatkan nasihat dan rawatan dari  ahli perubatan untuk mengenalpasti masaalah kesihatan kita.

Apabila kita ditahan dalam wad dan terbaring dikatil, ketua jabatan dan rakan pejabat kita hanya akan menghantar buah atau bunga. Mereka hanya datang melawat sebagai tanda simpati dan kemudian mereka pulang. Maka tinggallah kita menahan sakit sendirian.

Waktu dipejabat kita dilanyak sehingga tidak cukup nafas sehingga apabila kita kurang bertenaga kerena kurang sihat tiada siapa yang bersimpati. Besar juga kemungkinannya kesihatan kita merosot berpunca dari tekanan dan kerenah tempat kerja itu sendiri. Malah ianya akan bertambah buruk lagi jika keadaan ini berlaku pada waktu yang hampir dengan masa membuat lapuran prestasi tahunan. Sudah tentu kita dilabelkan sebagai kakaitangan yang lemah prestasinya.

Siapa yang peduli, siapa yang simpati dan siapakah yang menanggung. Fikir-fikirkanlah.

Thursday, April 21, 2011

Kucing dan Harimau

Pada masa ini bob mempunyai lapan ekor kucing berbagai jenis. Tujuh ekor jantan dan tiga ekor betina. Dua ekor darinya masih anak-anak lagi. Kesemuanya nakal-nakal dan menjadi penawar kehidupan dan buahhati bob sekeluarga. Mcoy, Snow, Sofie, Grey, Hui, Lois, Melly, Lucky, Joe dan Jamie begitulah nama-nama mereka. Namun mereka juga mempunyai nama melayunya masing-masing.

Bercakap mengenai kucing ini bob teringat tentang satu cerita yang pernah diceritakan oleh ibu saudara bob semasa bob kecil-kecil dulu. Dikisahkan pada satu masa dahulu kucing merupakan sahabat baik kepada harimau. Kemana-mana sahaja mereka akan sentiasa bersama. Apa yang harimau lakukan sikucing akan melakukannya juga.

Walaupun harimau ini merupakan binatang yang gagah dan besar namun ada satu perkara yang tidak dapat menandingi sikucing. Perkara itu ialah tentang kemahiran memanjat pokok. Ini membuatkan harimau tidak puas hati dan merasa rendah diri. Kadangkala jika mereka bergurau dan apabila sikucing mendapati gurauan itu sudah melebihi batas, beliau akan cepat memanjat pokok untuk menyelamatkan diri dan harimau akan terganga melopong dengan perasaan marah.

Sudah beberapakali siharimau memujuk sikucing untuk mengajar beliau tentang ilmu memanjat. Tetapi kucing masih teragak-agak untuk melatih siharimau memanjat. Ini adalah kerana sikucing berpendapat bahawa dengan berada diatas pokok adalah merupakan strategi terakhir baginya untuk menyelamatkan diri jika harimau naik marah atau ingin mengapa-apakan beliau.

Entah macamamana pada satu hari setelah dipujuk rayu oleh siharimau, sikucing pun dengan lembut hati bersetuju untuk mengajar siharimau memanjat pokok.

Pada hari dan tempat yang telah dijanjikan, sikucing pun mula mengajar siharimau. Terkial-kial siharimau memanjat dengan kuku yang besar dan tajam mencengkam kuat batang pokok untuk naik keatas dahan pertama. Melihatkan tangan harimau yang besar dan kuku yang berkilat tajam, sikucing mula merasa gerun dan takut. Dia berfikir, apa akan jadi jika siharimau itu satu hari nanti naik marah dan boleh memburu beliau sehingga memanjat pokok. Beliau lansung tidak mempunyai tempat atau cara untuk berlindung.

Tiba-tiba sikucing membuat langkah selamat dengan melarikan diri ketika siharimau masih berpeluh mengigil memeluk dahan pertama diatas pokok. Melihatkan tindakan sikucing itu, siharimau merayu untuk kucing mengajarnya turun dari pokok. Tetapi sikucing terus berdegil dan terkebil-kebil dari jauh. Harimau pun naik berang dengan perangai kucing yang membiarkan beliau sendirian diatas pokok itu. Marahnya meluap-luap dengan sumpah seranah sehingga menjerit ia akan terus memusuhi kucing sehingga keanak cucu.

Oleh kerena terlalu takutnya pada sang harimau, sikucing pun berpesan-pesan kepada anak cucunya supaya berjaga-jaga dengan harimau yang sentiasa menjejaki mereka untuk membalas dendam. Tahi-tahi mereka perlu dikambus supaya ianya tidak berbau meninggalkan kesan yang boleh dijejaki oleh siharimau. Itulah sebabnya sehingga kehari ini kita dapati semua kucing-kucing mempunyai tabiat menimbus tahi mereka selepas sahaja mereka melepas. Ini tidak dilakukan oleh haiwan-haiwan lain. Tetapi siLucky kucing bob yang sudah hampir setahun umurnya masih belum tahu tentang perkara ini kerena emak nya si Sofie tidak pernah mengajarnya.

Mari kita sama-sama fikirkan apa yang kita dapat pelajari dari cerita ini

Monday, April 18, 2011

Titian Usang 1

Kelmarin bob menalipon mak bob untuk bertanyakan khabar. Alhamdulillah mak dan bapa bob semuanya sihat. Seterusnya mak bob bercerita tentang keadaan cuaca disana baik ada matahari sesekali hujan dan dikhabarkan sedang musim durian gugur.

Dua tiga hari sebelum ini, bekas ketua kampung bob telah kembali kerahmatullah begitu juga hari berikutnya bekas tukang kebun disekolah rendah bob pun telah meninggal dunia. Kesemua mereka telah berusia hampr sembilan puluh tahun.

Kedua-dua mereka ini adalah diantara orang yang amat bob hormati. Banyak cerita dan kenangan bob  bersama mereka. Bob masih ingat apabila ketua kampung ini sanggup meluang masa untuk turut bersama rombongan perminangan kerumah ibubapa isteri bob diKualaLumpur ini kira-kira tiga puluh tahun yang lalu.Ketika itu lebuhraya masih belum dibina lagi.

Manakala Pak Harun tukang kebun sekolah bob merupakan agen kepada mak bob yang sering melaporkan tentang apa yang bob lakukan disekolah. Alhamdulillah semua laporan baik belaka.

Nampaknya hanya tinggal mak dan bapa bob menjadi orang yang paling berusia yang masih hidup dikampung bob.

Kampung pun sudah banyak berbeza. Dulunya dikelilingi pokok getah tetapi kini kelapa sawit. Rumah-rumah usang telah banyak yang roboh dan kini kampung menjadi lengang ditumbuhi lalang.

Teringat bob kepada sebuah tulisan bob. Begini bunyinya.

DiPohon Rambutan Itu

“Buahnya sudah jarang
tidak lagi disentuh orang
Tuannya telah hilang
meninggalkan rumah usang
penuh sawang
Lamannya yang ditumbuhi lalang
Pokok ulan melilit julang
merebahkan tiang
Menantikan tumbang

Dahannya yang tidak lagi merendang
Daunnya gugur disambut lengang
Berirama riang-riang
Tinggal parut ukiran dibatang
pada kulitnya yang sudah belulang
Masih disitu dipinggir simpang

Dipangkalnya ada tahi musang
yang sudah kering berkeretang
Menunggu anaknya pulang
berdagang bagaikan keluang
Yang baliknya jarang-jarang
Walaupun sudah petang”