Tuesday, April 12, 2011

Mentari Petang 1

Bob masih teringat semasa keputusan SPM dikeluarkan disekolah dulu. Masing-masing kawan bob bertanyakan tentang keputusan dan berapa kepujian atau berapa banyak A yang diperolehi. Ada yang melompat kegembiraan ada pula yang terdiam bungkam.

Setahun kemudian jika kami bertembung masinh-masing akan bertanyakan tentang sekarang sedang bersekolah dimana atau pun buat apa atau kerja dimana. Tiga empat tahun kemudian bila kami bertemu, masing-masing akan bertanya lagi tentang kawan-kawan sedang berlajar dimaktab, universiti atau berkerja dimana.

Dua tiga tahun kemudian apabila kami terserempak dipasar ketika pulang berhariraya, kami masing-masing akan bertanya khabar sudah kahwinkah belum dan sedang berkerja dimana. Ada juga yang sempat menghulurkan kad jemputan kahwin ketika itu.

Selang beberapa tahun kemudian apabila bertembung lagi dengan kawan-kawan bob itu kami masing-masing akan bertanya kini sudah mempunyai berapa orang anak pula. Manakala sepuluh tahun kemudian apabila terserempak dijalan atau dipasar masing-masing akan bertanya tentang keadaan anak-anak kami masing-masing dan mereka sedang bersekolah dimana atau universiti mana atau kursus apa.

Lima belas tahun kemudian jika berkesempatan bertemu soalan yang kami tanya ialah berapa orang cucukah yang kami ada dan bila mahu bersara. Seterusnya soalan yang ditanya tentang apa yang hendak dibuat apabila bersara nanti

Kemudian lima tahun setelah bersara dan mungkin hanya dapat berpeluang bertemu dipusat-pusat  perubatan pula seperti diIJN dan hospital-hospital. Soalan yang ditanyakan adalah mengenai keadaan kesihatan dan penyakit yang dihidapi atau berapa banyak ubat yang terpaksa ditelan. Manakala soalan seterusnya adalah mengenai aktiviti masa kini. ‘Rehat Tunggu Mati(RTM)’begitulah jawapan seorang teman bob tidak berapa lama dahulu ketika bob bertembung dengannya Turut ditanya mengenai khabar kawan-kawan yang masih hidup atau pun mengenai kawan-kawan yang telah meninggal.

Begitulah soalan-soalan yang lazim ditanya disepanjang kehidupan seseorang itu apabila bertemu kenalan. Fakta-fakta kehidupan yang dilalui sentiasa berada dalam lipatan ingatan seseorang bagi menjawab soalan-soalan lazim ini. Soalan-soalan ini seolah berpusing lagi dan akan ulang tanya oleh generasi seterusnya.

No comments:

Post a Comment