Thursday, April 21, 2011

Kucing dan Harimau

Pada masa ini bob mempunyai lapan ekor kucing berbagai jenis. Tujuh ekor jantan dan tiga ekor betina. Dua ekor darinya masih anak-anak lagi. Kesemuanya nakal-nakal dan menjadi penawar kehidupan dan buahhati bob sekeluarga. Mcoy, Snow, Sofie, Grey, Hui, Lois, Melly, Lucky, Joe dan Jamie begitulah nama-nama mereka. Namun mereka juga mempunyai nama melayunya masing-masing.

Bercakap mengenai kucing ini bob teringat tentang satu cerita yang pernah diceritakan oleh ibu saudara bob semasa bob kecil-kecil dulu. Dikisahkan pada satu masa dahulu kucing merupakan sahabat baik kepada harimau. Kemana-mana sahaja mereka akan sentiasa bersama. Apa yang harimau lakukan sikucing akan melakukannya juga.

Walaupun harimau ini merupakan binatang yang gagah dan besar namun ada satu perkara yang tidak dapat menandingi sikucing. Perkara itu ialah tentang kemahiran memanjat pokok. Ini membuatkan harimau tidak puas hati dan merasa rendah diri. Kadangkala jika mereka bergurau dan apabila sikucing mendapati gurauan itu sudah melebihi batas, beliau akan cepat memanjat pokok untuk menyelamatkan diri dan harimau akan terganga melopong dengan perasaan marah.

Sudah beberapakali siharimau memujuk sikucing untuk mengajar beliau tentang ilmu memanjat. Tetapi kucing masih teragak-agak untuk melatih siharimau memanjat. Ini adalah kerana sikucing berpendapat bahawa dengan berada diatas pokok adalah merupakan strategi terakhir baginya untuk menyelamatkan diri jika harimau naik marah atau ingin mengapa-apakan beliau.

Entah macamamana pada satu hari setelah dipujuk rayu oleh siharimau, sikucing pun dengan lembut hati bersetuju untuk mengajar siharimau memanjat pokok.

Pada hari dan tempat yang telah dijanjikan, sikucing pun mula mengajar siharimau. Terkial-kial siharimau memanjat dengan kuku yang besar dan tajam mencengkam kuat batang pokok untuk naik keatas dahan pertama. Melihatkan tangan harimau yang besar dan kuku yang berkilat tajam, sikucing mula merasa gerun dan takut. Dia berfikir, apa akan jadi jika siharimau itu satu hari nanti naik marah dan boleh memburu beliau sehingga memanjat pokok. Beliau lansung tidak mempunyai tempat atau cara untuk berlindung.

Tiba-tiba sikucing membuat langkah selamat dengan melarikan diri ketika siharimau masih berpeluh mengigil memeluk dahan pertama diatas pokok. Melihatkan tindakan sikucing itu, siharimau merayu untuk kucing mengajarnya turun dari pokok. Tetapi sikucing terus berdegil dan terkebil-kebil dari jauh. Harimau pun naik berang dengan perangai kucing yang membiarkan beliau sendirian diatas pokok itu. Marahnya meluap-luap dengan sumpah seranah sehingga menjerit ia akan terus memusuhi kucing sehingga keanak cucu.

Oleh kerena terlalu takutnya pada sang harimau, sikucing pun berpesan-pesan kepada anak cucunya supaya berjaga-jaga dengan harimau yang sentiasa menjejaki mereka untuk membalas dendam. Tahi-tahi mereka perlu dikambus supaya ianya tidak berbau meninggalkan kesan yang boleh dijejaki oleh siharimau. Itulah sebabnya sehingga kehari ini kita dapati semua kucing-kucing mempunyai tabiat menimbus tahi mereka selepas sahaja mereka melepas. Ini tidak dilakukan oleh haiwan-haiwan lain. Tetapi siLucky kucing bob yang sudah hampir setahun umurnya masih belum tahu tentang perkara ini kerena emak nya si Sofie tidak pernah mengajarnya.

Mari kita sama-sama fikirkan apa yang kita dapat pelajari dari cerita ini

No comments:

Post a Comment