Wednesday, May 4, 2011

Masak Udang Tiga Rasa

Kali ini bob ingin bercerita tentang satu resepi kegemaran Fasya. Jika kita kepasar ketika ini, udang saiz sederhana berharga kira-kira RM13.00 sekilo. Cukup hanya setengah kilo untuk satu hidangan.

Apabila sampai dirumah bersihkan udang itu dan lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Kemudian gorengkan udang tadi sehingga kuning dan angkat dari kuali dan toskan minyaknya Sambil itu hiris-hiriskanlah tiga ulas bawang merah dan tiga ulas bawang putih. Hiriskan juga sebiji cili merah bersama sebiji cili hijau dan setengah inci halia..

Kemudian panaskan kuali dan tumiskan bahan yang telah dihiris tadi dengan dua sudu minyak masak. Apabila sudah naik baunya masukkan empat sudu sos tomato bersama empat sudu sos cili. Kemudian masukan pula secawan air, sesudu gula, sesudu cuka dan garam secukup rasa.

Seterusnya masukan sebiji bawang besar yang telah dipotong-potong baji. Gaul sehingga rata sampai mendidih. Kemudian itu masukkan udang tadi bersama sebiji buah tomato yang juga dipotong baji. Sekali lagi gaul sehingga rata semuanya dan sedia untuk dipindahkan kedalam pinggan hidangan

Mudahkan? Ia sangat sesuai dimasak oleh orang bujang dan yang mahu masakan ringkas. Bob sering menghidangkan menu ini dengan masak tumis sayur kobis cina bersama ikan tenggiri goreng. Woi sedap betul kalau hidangan yang masih panas ini dimakan bersama nasi panas.  Si fasya sangat minat menu ini untuk makan tengahari ketika pulang dari sekolah.

Suap demi suap bergilir  antara nasi dan udang masuk kemulut sehingga meleleh-leleh peluh keluar. Begitulah enaknya masakan sendiri yang ringkas dan tidak susah berbelanja makan dikedai makan yang tidak diketahui tentang kebersihan dan khasiatnya.

No comments:

Post a Comment